PENDIDIKAN
Sekolah Agama Rakyat Ahya Ul-Falah Felda Keratong 2
Sekolah Agama Rakyat Ahya Ul-Falah Felda Keratong 2 telah mula beroperasi seawal pembukaan Felda Keratong 2 iaitu pada tahun 1979. Kini sekolah ini di bawah tampuk kepimpinan Puan Hajah Ramlah selaku Guru Besar, dan dibantu oleh 7 orang guru memerah keringat menabur ilmu Fardu Ain kepada lebih 160 orang pelajar yang berumur antara 5 hingga 11 tahun. Keindahan landskap hasil kreativiti guru-guru di sini mampu menarik perhatian sesiapa sahaja yang datang melawat.
Kemudahan 8 blok bangunan termasuk 1 kantin, cukup untuk memberi keselesaan pada sesi pembelajaran dan pengajaran. Sekolah ini turut aktif menghantar para pelajarnya untuk beberapa pertandingan berbentuk ilmiah di seluruh Pahang seperti Majlis Ihktifal, Tadarus al-Quran dan Majlis Khatam al-Quran.
(Sumber : Guru Besar Sekolah Agama Rakyat Ahya Ul-Falah Felda Keratong 2)
Sekolah Menengah Kebangsaan Keratong
‘SMK KERATONG PENJANA KECEMERLANGAN INSAN DALAM AKADEMIK, KO-KURIKULUM DAN SAHSIAH MENJELANG 2010’. Visi tersebut telah mencerminkan kesungguhan seluruh Warga SMK Keratong yang diterajui oleh Puan Hajah Marsunah Binti Jemain selaku Pengetua Sekolah. Kecekapan dan kesungguhan tenaga-tenaga pengajar yang bertungkus-lumus mendidik pelajar yang terdiri daripada umur antara 13 hingga 17 tahun, membuahkan hasil apabila ramai pelajar-pelajarnya mampu menjejakkan kaki ke menara gading. Malah telah menjadi insan yang berjaya kini. Untuk maklumat lanjut mengenai SMK Keratong ini, sila layari laman web tersebut. http://www.smkkeratong.net
Sekolah Kebangsaan (LKTP) Felda Keratong Dua
Sekolah Kebangsaan (LKTP) Felda Keratong Duan merupakan satu-satunya sekolah rendah di Felda Keratong Dua. Di bawah tampuk kepimpinan Guru Besarnya, Puan Wan Gayah Binti Ali dan Guru Penolong Kanan, Puan Rokiah binti Mohamad serta 38 orang guru yang berdedikasi, mampu membimbing dan mendidik seramai 350 orang pelajarnya. Dilengkapi dengan pelbagai infrastruktur serta 3 blok bangunan, mampu memberi keselesaan dan kesempurnaan kepada para pelajarnya untuk menimba ilmu pengetahuan.
TASKA Felda Keratong 2
TASKA Felda Keratong 2 telah dibuka pada awal tahun 2002. Puan Noraziah Binti Awang yang juga pengerusi GPW Felda Keratong 2 merupakan pengasas TASKA ini. Dengan bantuan 2 orang guru, Taska ini mampu menguruskan 14 orang pelajar yang berumur antara 3 dan 4 tahun dalam satu-satu masa. Beroperasi pada hari Isnin hingga Jumaat, seawal jam 7.30 pagi hingga 2.30 petang dengan 2 sesi. Untuk sesi pertama (literasi) bermula jam 7.30 pagi hingga 10.30 pagi, manakala bagi sesi kedua (Taman Asuhan Kanak-kanak KEMAS) bermula jam 7.30pagi hingga 2.30 petang.
TABIKA Felda Keratong 2
(Sumber : Guru TASKA Felda Keratong 2)
Dikemaskini pada: 4 Julai 2015